Thursday, March 7, 2013



CERTIFICATE CHURCH MINISTRY (CCM)
SUBJEK PEMURIDAN


TUGASAN: MERINGKAS BUKU
(BUKU MUTIPLYING DISCIPLES)



OLEH
MANUEL AKIUN



SEMINARI TEOLOGI SABAH (STS)

PENGENALAN
Buku ini ditulis oleh Waylon B. Moore, tahun tidak dinyatakan. Mempunyai 13 bab dan dibahagikan kepada 4 bahagian, dengan mempunyai 55 muka surat.
Buku ini menceritakan bagaimana orang Kristian boleh berganda dan bagaimana menjadikan seorang Kristian menjadi pengganda.
Buku ini juga mengupas tentang kepentingan seseorang Kristian melakukan penggandaan bagi tujuan menjangkau lebih ramai orang diselamatkan oleh Yesus Kristus.
Secara peribadi saya amat teruja membaca buku ini, walaupun agak sukar saya memahaminya, walaupun telah diterjamahkan ke dalam bahasa Malaysia. Walau bagaimana pun saya tetap berminat untuk membaca dan memahaminya. Bukan itu sahaja saya juga teruja untuk mempraktikannya dalam kehidupan saya, rasanya ia boleh diaplikasikan teknik pemuridan kepada anak saya sendiri.
Saya juga amat tertarik  apabila penulis menyatakan bahwa Rasul Petrus yang hebat itu adalah hasil daripada pelayanan Andreas yang telah membawa Petrus kepada Tuhan Yesus suatu ketika dulu. Kemudiannya  Petrus telah menjadi pengikut dan kemudian menjadi Rasul Tuhan Yesus  yang dipakai Tuhan secara luar biasa.
Saya dapat simpulkan bahawa jumlah orang Kristian yang besar pada masa ini  sebenarnya adalah hasil pemuridan 12 orang yang telah dilakukan oleh Tuhan Yesus 2000 tahun lalu.
Bagi meneruskan kelangsungan umat Kristian di dunia ini, saya dan orang Kristian yang lain perlu meneruskan pemuridan seperti mana yang dilakukan oleh Tuhan Yesus.

 BAB SATU
SAUDARA BOLEH BERGANDA MELALUI ORANG LAIN
            Dalam bab ini penulis menyatakan bahawa melaksanakan Amanat Agung Kristus melalui kaedah pemuridan.
            Penulis mengambil contoh Edward Kimball pada tahun 1800 yang bertekad untuk menjangkau setiap remaja yang tidak mahu datang ke sekolah minggunya. Akhirnya dia telah memuridkan seseorang yang bernama Dwight Moody, murid tersebut kini telah menjadi penginjil yang diurapi Tuhan dan telah menjangkau berjuta-juta orang di Amerika Utara dan Eropah.
            Penulis juga menekankan bahawa pemuridan adalah prinsip Alkitab, orang Kristian perlu ada kesedaran untuk mengaplikasikannya.
            Melalui pengalaman saya sendiri, saya mengaku bahawa saya sendiri  adalah hasil pemuridan oleh ibu saya sendiri. Ibu saya membawa saya ke gereja dengan setia setiap minggu. Akhirnya saya sendiri telah mencontohi kesetia datang ke gereja setiap minggu. Kesannya adik-adik saya juga telah dipengaruhi. Kini keluarga kami adalah pelayan gereja Tuhan di tempat kami.
Sekiranya setiap orang Kristian dapat membawa ahli keluarga masing-masing ke gereja setiap minggu, sudah tentu kesan penggandaan itu akan lebih kuat lagi. Tidak mustahil bilang orang yang akan diselamatkan di dunia ini berganda setiap tahun.
Apa yang terjadi adalah sebaliknya, kehadiran ahli keluarga orang Kristian ke gereja setiap minggu bukan 100%, mungkin sekitar 30% sahaja. Ini menyebabkan penggandaan itu tidak tejadi dengan pesat.

BAB 2
MAKNA PEMURIDAN
            Penulis mendefinisikan perkataan murid dengan merujuk kepada Injil Yohanes iaitu; Pertama, ia adalah seorang Kristian dan menggunakan firman Tuhan sebagai dasar kehidupannya. Kedua, ia sanggup berkorban demi nyawa orang lain kerana kasihnya. Ketiga, kehidupannya tetap dalam persekutuan dengan Kristus, dan menghasilkan buah yang tetap. Buah yang dimaksuknya adalah apabila ia dapat memuridkan orang lain.
            Menurut penulis pemuridan adalah komitmen kepada kehendak Tuhan. Ia mematikan kehendak diri sendiri dan hanya mengikut kehendak Tuhan dan tidak berpaut pada hal-hal dunia.
            Penulis mengambil contoh Paulus, dalam penginjilannya ia hanya berpusat kepada Tuhan Yesus, hidup dan matinya hanya untuk Tuhan Yesus.
            Secara peribadi saya tidak dapat melakukan apa yang disarankan oleh penulis, saya selalu terperangkap dalam situasi dimana saya mahu melakukan pelayanan tetapi tidak mampu melakukannya kerana tidak dapat meninggalkan kepentingan keluarga. Dalam hati, saya mahu melakukan kehendak pelayanan tetapi sebaliknya  melakukan perkara yang lain.
BAB 3
MENGAPA MEMURIDKAN
Menurut penulis permuridan adalah kaedah perkongsian hidup Allah dengan manusia. Allah sendiri yang telah memulakan pemuridan. Ianya telah wujud sejak dalam Perjanjian Lama lagi. Contohnya; Allah mengarahkan Musa untuk mengongsikan kehidupanya kepada Yosua (Ulangan 3:28) dan Elia mengongsikan hidup dengan Elisa.
Pemuridan berorintasikan kepada potensi individu yang sesuai untuk dimuridkan, dan bukan berorintasikan bilangan yang dimuridkan. Kualiti murid lebih diutamakan berbanding kuantiti.
Menurut penulis lagi kaedah pemuridan adalah cara yang paling strategik dan tidak terbatas. Boleh dilakukan bila-bila masa, di mana-mana dan tidak mengira golongan umur dan sesiapa sahaja boleh melakukan asalkan ianya berpusat pada firman Tuhan.
Pemuridan adalah pelayanan yang paling fleksibel, tidak ada jangka masa tertentu, tidak mementingkan struktur organisasi, selain daripada itu para murid diberi peluang untuk membuat keputusan.
Dalam jangka masa yang panjang hasil yang besar akan dapat diperolehi daripada pemuridan berbanding dengan pelayanan yang lain. Pemuridan sebenarnya membekalkan gereja setempat dengan pemimpin yang berfokuskan kepada Kristus dan Firman Tuhan.
Dalam hal ini saya berpendapat bahawa para pemimpin gereja perlu menyedari mereka mesti memasuki kitaran pemuridan, agar gereja tidak ketandusan pemimpin pada masa akan datang dan juga bagi menggandakan orang yang diselamatkan oleh Kristus.
Kitaran itu adalah; Seorang pemimpin gereja akan memurid beberapa orang, kemudian murid itu kemudiannya melakukan penginjilan, ada jiwa baru dimenangkan. Susulan dilakukan untuk menjadikan jiwa baru dimatangkan / pemuridan, kemudian jiwa baru tersebut menjadi pemimpin. Seterusnya ia melakukan pemuridan dan kitaran pemuridan akan diulang lagi dengan skala yang lebih luas lagi, Contonya; Kitaran pertama hanya satu pemimpin yang melakukan pemuridan, hasil daripada pemuridannya ia telah menghasilkan 3 orang murid, kemudian 3 orang murid menjadi pemimpin dan setiap 3 daripada mereka memuridkan 3 orang menjadikan jumlah sekarang adalah 9 orang. Dan begitulah seterusnya, penggandaan berlaku dalam setiap kitaran pemimpin.
Pengalaman saya sendiri dalam pelayanan, saya mempunyai 12 orang rakan yang rapat dalam pelayanan gereja kami di kampung Nongkul dan saya adalah pemimpin mereka. Selepas beberapa waktu kami telah terpisah, kerana saya telah bekerja di tempat lain, dan mereka juga bekerja di tempat lain. Apa yang menarik rakan-rakan saya ini juga membawa rakan-rakan mereka datang ke gereja dan melayani di tempat mereka. Akhirnya dari 12 orang digandakan menjadi 2 kali ganda atau lebih. Agaknya saya telah melakukan penggandaan. Puji Tuhan.

BAB 4
CONTOH-CONTOH ALKITAB PENGGANDAAN ROHANI
Menurut penulis bukan semua orang Kristian dipakai Tuhan seperti Paulus dan Petrus dalam hal penggandaan. Walaubagaimana pun kita tidak perlu  tawar hati, kerana kita masih boleh melakukan sesuatu dalam hal pemuridan dan penggandaan.
Penulis mengambil contoh beberapa individu dalam Perjanjian Baru, Iaitu Andreas (Yohanes 1: 40-42), yang telah membawa Petrus kepada Tuhan Yesus, Petrus menjadi pengikut Tuhan Yesus dan menjadi Rasul yang dipakai Tuhan secara luar biasa (pernah sekali berkhotbah 3 ribu orang percaya), walaupun Adreas tidak sehebat Petrus tetapi ia masih dapat berkongsi ganjaran hasil daripada pelayanan Petrus.
Penulis juga mengambil contoh Yohanes, yang telah memuridkan Poliycarp, dikatakan bahwa ia seorang yang dinamik. Kemudiannya Poliycarp telah memuridkan Irenaeus yang menjadi pastor.
Contoh seterusnya ialah Barnabas. Menurut penulis Barnabas yang telah melatih dan memurid Rasul Paulus. Bayangkan betapa hebat dan besarnya pelayanan Paulus. Hasil pemuridan Barnabas.
Saya berpendapat bahawa saya juga boleh mencontohi individu yang disebutkan oleh penulis dalam bab ini. Kita tidak tahu mungkin kita akan memuridkan seseorang dan akan menjadi sehebat Rasul Petrus dan Rasul Paulus.
Saya berbalik  pada contoh saya sebelum ini, berkenaan 12 orang rakan sepelayanan yang saya ketuai 10 tahun yang lepas. Salah satu daripada mereka sekarang menjadi penolong gembala di jemaat kami Kg. Nongkul. Walaupun tidak sehebat mana tetapi sekurang-kurangnya saya telah terlibat memancing seorang individu yang dahulunya tidak pernah datang ke gereja, apa lagi untuk melayani Tuhan, kini telah menjadi penolong gembala jemaat.

BAB 5
DIMANAKAH PEMURIDAN BERMULA
            Menurut penulis pemuridan bermula sejurus apabila seseorang menjadi percaya kepada Tuhan Yesus. Orang yang baru percaya memerlukan penjagaan dengan segera. Mereka perlu didoakan, dihubungi secara peribadi dan diberi tunjuk ajar bagaimana bertumbuh dalam firman Tuhan.
            Menuut penulis ada 4 kaedah pemuridan, rujukan penulis adalah 1Tesalonika. Pertama, Surat-menyurat peribadi; 1 Tesalonika 1:1, Penulis mengambil contoh cara Rasul Paulus memuridkan Timotius dan Titus melalui surat-surat peribadinya kepada mereka. Konsep yang digunakan dalam surat peribadi ini adalah untuk  menguatkan dan mengajar individu tertentu. Tidak kira bagaiman cara kita untuk berhubung dengan seseorang, mungkin melalui e-mail, telefon, SMS, Facebook dan sebaginya. Apa yang penting tujuan kita.
            Kedua, Doa syafaat peribadi; 1 Tesalonika 1:2, penulis menyatakan bahwa Paulus mendoakan jemaah Tesalonika siang dan malam. Doa dapat menguatkan anggota jemaat yang lemah secara rohani. Penulis menyatakan bahwa mendoa seseorang perlu sejurus seseorang dibabtis.
Ketiga, Wakil-wakil peribadi; 1 Tesalonika 3:1-5, contoh yang diberikan penulis ialah Timotius, Epaproditus, Titus dan individu-individu yang lain. Mereka inilah yang dikatakan selalu mengantikan tempat Rasul Paulus di satu-satu tempat yang memerlukan pelayanan Paulus.
Keempat, Hubungan Peribadi; 1 Tesalonika 2:7, Penulis menyatakan bahwa Paulus sedaya upaya melawat individu tertentu untuk menguatkan mereka dengan kasih, sebagai bapa rohani mereka. 

BAB 6
KEROHANIAN SEORANG PENGGANDA MURID 
            Dalam bab ini penulis mengupas tentang sifat-sifat murid yang diperlukan sebelum mereka boleh melakukan penggandaan.
            Pertama; Memiliki Kasih Karunia Kristus. Penulis menyatakan bahawa seseorang penggana yang berpotensi perlu memiliki hidup yang dikuasi oleh kasih anugerah Kristus. Maksudnya adalah, murid tersebut menyedari kasih yang diterimanya daripada Tuhan, dan mahu mengongsikan kasih itu kepada orang lain, dengan cara mengasihi mereka seperti mana Tuhan mengasihi dirinya. Tanpa kasih seseorang tidak dapat melakukan sesuatu untuk Tuhan.
            Kedua; Berbakti Bagi Pelayanan Penggandaan. Penulis menyatakan bahawa seorang penggana yang berpotensi adalah individu yang mahu mengongsikan perkara yang telah didengar, dilihat dan dialaminya, kepada orang lain.
            Ketiga; Displin Hidup Bagi Menyenangkan Hati Tuhan. Penulis menyatakan kualiti ketiga untuk menjadi penggana adalah hidup yang berdisplin untuk menyenangkan hati Tuhan. Hanya ada satu motivasi dalam hidupnya iaitu menyenangkan hati Tuhan.
            Secara peribadi saya tercabar dengan saranan penulis dalam bab ini. Saya bertanya sendiri dalam hati, adakah saya seorang murid Tuhan yang berpotensi dalam penggandaan? Atau sebaliknya.
  
BAB 7      
MEMILIKI HATI SEORANG HAMBA
            Penulis mengambil contoh sikap seorang hamba dari Tuhan Yesus Kristus sendiri. Penulis menghuraikan bahwa maksud seorang hamba ialah melayani tanpa mengharapkan belasan baik daripada apa yang telah dilakukannya, malahan ia sanggup mengorbankan nyawanya untuk orang lain.
            Tuhan Yesus sendiri dalam Matius 20: 27-28 mengatakan bahwa sesiapa yang mahu terkemuka diantara kita harus menjadi hamba kepada semua orang.    Penulis juga mengambil contoh dari surat Rasul Paulus yang ada menyatakan tentang hamba. Rasul Paulus dengan yakin menyatakan bahwa dirinya adalah hamba Kristus (Roma 1:1, Galatia 1:10, Filipi 1:1 dan Titus 1:1).           
Seterusnya penulis menghuraikan kehidupan Kristian adalah untuk menginjili orang lain di mana sahaja kita berada. Dalam rumah kita, sanak-saudara, dalam masyarakat, di sekolah, di tempat kerja dan lebih-lebih lagi dalam gereja kita sendiri.
            Semasa saya sedang menulis perenggan tentang hati seorang hamba tiba-tiba terlintas dalam hati untuk menyanyakan diri-sendiri. Adakah keluarga saya miliki sifat seorang hamba yang penuh kasih Kristus  dan melayani orang lain?..Atau adakah saya dan keluarga saya hanya hidup untuk diri sendiri tanpa ada satu kualiti pun untuk menceritakan kasih Kristus kepada orang lain. Tuhan tolong saya dan keluarga saya agar kami mampu mengasih orang lain, seperti mana Tuhan telah mengasihi kami, berikan kami hati seorang hamba.

BAB 8      
HADIR DENGAN MURID
            Maksud penulis dalam bab ini ialah pelatih berkongsi hidup dengan muridnya. Penulis mengambil contoh Tuhan Yesus berkongsi hidup bersama-sama dengan 12 orang muridnya, selama 3 tahun.
            Berkongsi hidup dengan murid adalah untuk proses memilih, melatih dan mengutus murid untuk pelayanan pada masa akan datang.
            Penulis juga mengambil contoh Rasul Paulus yang telah menghabiskan masa selama 3 tahun untuk bersama-sama dengan jemaat dan penatua-penatua di Efesus.
            Penulis menganggap berkongsi hidup adalah cara paling baik untuk mematangkan dan menggandakan murid.
            Saya masih ingat pada tahun 2000, sepanjang tahun saya berada di kampung, bersama-sama dengan rakan sepelayanan. Kami selalu bertemu di gereja dan di luar gereja, melakukan pelbagai aktiviti gereja dan aktiviti kampung bersama-sama. Kami saling mengenal antara satu dengan yang lain. Saya rasakan seolah-olah kami satu keluarga yang besar. Apa sahaja yang kami lakukan, dilakukan bersama, dan semuanya berjaya kami lakukan dengan penuh suka-cita.
            Mungkin inilah rahsia kejayaan pelayanan kami pada masa itu. Saya dapat membayangkan mungkin inilah pengalaman manis murid-murid Tuhan Yesus sepanjang 3 tahun mereka bersama. Tidak hairanlah murid-murid Tuhan Yesus dapat mengingat secara langsung kata-kata Tuhan Yesus dan dapat meniru gaya hidup Tuhan Yesus.
            Hidup bersama-sama dengan murid dapat mencetuskan ikat yang sangat kuat, dapat dilihat reaksi jemaat di Efesus ketika Rasul Paulus meninggalkan mereka, dikatakan sepanjang malam mereka bersama-sama, menjelang pagi mereka menghantar Paulus ke pelabuhan untuk mengucapkan selamat jalan, mereka semua menangis sayu. Mungkin inilah pelayanan yang sebenar. Mampukah saya melakukannya? Semoga Tuhan memberi kekuatan kepada saya untuk dapat melakukan pelayanan seumpama itu.

BAB 9
MEMILIKI HATI SEPERTI IBUBAPA
            Menurut penulis sebagai seorang pengganda yang berjaya ia harus menjadi ibubapa rohani kepada muridnya. Mengasihi seperti mana ia mengasihi anak jasmaninya sendiri. Penulis mengambil contoh sikap Tuhan Yesus terhadap murid-muridnya, Ia mengasih mereka. Begitu juga Rasul Paulus, ia juga mengasihi anggota jemaat yang dilayaninya; di Filipi dan Tesalonika.
            Penulis juga menyatakan bahawa seorang ibubapa rohani perlu memberi makanan rohani kepada anak-anak rohaninya. Makanan rohani yang dimaksudkan oleh penulis ialah mengajar murid untuk melakukan beberapa perkara;
Pertama, Masa Sunyi bersama Tuhan, di tempat yang sesuai (tiada gangguan) dan masa yang sesuai (biasanya awal pagi), membawa bersama Alkitab dan buku rohani dan buku catatan.
            Kedua, mengajar bagaimana membaca Alkitab dengan teknik yang sesuai. (Contoh; Apa  pelajaran utama, apa yang diajar oleh ayat firman tentang Allah Bapa, Anak dan Roh Kudus, ayat mana yang menggambarkan keseluruhan perenggan, perintah yang perlu dituruti, apa yang diajarkan oleh Allah melalui ayat tersebut)
            Ketiga, mengajar kaedah pembelajaran Alkitab (Contoh; Mana satu ayat yang perlu dipelajari secara mendalam, analisis fasal, mana satu buku yang perlu dipelajari, analisis perkataan, watak mana yang perlu dianalisis dalam alkitab).
            Keempat, mengajar untuk mengingat ayat firman Tuhan. Banyak manfaat apabila murid mengingat ayat firman Tuhan, contohnya memperolehi berkat, kuasa daripada sebarang godaan dan kemenangan terhadap dosa.
            Penulis juga mengatakan bahawa ibubapa rohani perlu memberi perlindungan kepada anak-anak rohaninya.
            Mereka juga perlu mendisiplinkan anak-anak rohaninya, agar dapat menghentikan tabiat atau kesalahan yang dilakukan oleh murid.

BAB 10
JADILAH PENETAP LANGKAH
            Dalam bab ini penulis menerangkan bahwa seorang pengganda harus menjadi tauladan, memberi arahan, menetapkan standard / kualiti pelayanan para muridnya.
            Melalui pengalama saya, apa yang menjadi kesukaran ialah apabila kita menetapkan sesutau kualiti dalam pelayanan. Ramai yang tidak bersetuju pada mulanya. Contohnya, saya menetapkan masa kebatian hari minggu. Pada mulanya memang menjadi kesukaran anggota jemaat untuk berada di gereja tepat pada waktu yang telah ditetapkan. Tetapi akhirnya mereka dapat mendisplinkan diri.

BAB 11
MEMILIH PEMIMPIN YANG BERPOTENSI
            Penulis memberikan saranan untuk memilih individu yang berpotensi dijadikan murid agar akan menjadi pengganda dimasa akan datang. Iaitu; Bermula dengan berdoa untuk memohon kebijaksanaan untuk memilih murid (Lukas 6:12). Mencari orang yang ingin / lapar akan kehendak Tuhan (Matius 5:6). Mencari seseorang yang mempunyai kualiti dalaman / ada kesungguhan (1 Samuel 16:7)
            Dalam hal mencari seseorang yang berpotensi bukanlah mudah, saya sendiri mungkin bukanlah seorang murid yang berpotensi seperti yang disaranakan oleh penulis dalam bab ini. Walaubagaimana pun saya masih bersyukur kepada Tuhan kerana masih memilih saya menjadi salah seorang pelajar dalam kelas Pemuridan, mungkinkah  saya mempunyai ciri-ciri murid yang di inginkan oleh Tuhan?

BAB 12
MULAKAN DI DALAM GEREJA ANDA HARI INI
            Penulis menyarankan kita bermula secara kecil-kecilan, pertumbuhan dan membentuk murid adalah rencana Tuhan untuk gerejaNya.
            Penulis mengatakan bahawa rantai pemuridan itu bermula dari diri kita sendiri, kitalah yang bertanggungjawab untuk memulakannya.Penulis menyarankan untuk menggunakan struktur pelayanan  sedia ada dalam gereja setempat untuk memulakan pemuridan. Seperti; Sekolah minggu, lawatan penginjilan, retreat dan persidangan.
            Penulis menekan peranan pastor sangat penting untuk menjayakan pemuridan dalam gereja, mereka adalah ‘role model’
            Bila kita boleh bermula, penulis mengatakan ‘mulakan sekarang’ pilih individu yang difikirkan berpotensi, lakukan 6 pertemuan berturut-turut. Daripada pertemuan tersebut kita akan dapat melihat siapa yang berminat dan berpotensi. Bekerja hanya satu atau dua orang dalam setahun.
            Melalui pengamatan saya sendiri cabaran gereja sekarang ialah para pemimpin tidak melakukan pemuridkan. Para pemimpin hanya berharap ada anggota jemaat dengan sukarela datang melibatkan diri dalam pelayanan. Mereka tidak ada iniseatif untuk menangkap sebanyak mungkin anggota jemaat untuk diberi peluang menjadi murid. Ini yang menyebabkan banyak gereja setempat yang mula kekurangan pemimpin.

BAB 13
SEMUA ORANG BOLEH BERGANDA
            Penulis dengan yakin mengatakan semua orang boleh memuridkan orang lain. Seperti mana yang telah dihuraikan dari bab pertama sehingga bab 12, jelas sekali bagaimana pemuridan dilakukan.
            Saya sendiri amat tercabar semasa saya meringkaskan buku ini, syukurlah sedar tidak sedar saya juga mengaplikasikan pemuridan dalam gereja di kampung saya, walaupun tanpa menyedari apa yang saya lakukan itu sebenarnya pemuridan.

 PENUTUP
            Sejujurnya saya mengaku bahwa buku ini telah menginsperasi saya untuk melakukan pemuridan. Semoga saya dapat memuridkan anak saya sendiri, saya mahu mengajar dia bagaimana percaya kepada Tuhan Yesus, dan bagaimana menjadikan Tuhan Yesus peribadi yang utama dalam kehidupannya, susah dan senang kekal dalam perhubungan dengan Tuhan Yesus. Semoga Tuhan memberikan kekuatan kepada saya.
            Saya juga bersyukur kepada Tuhan kerana memberi saya peluang mempelajari PEMURIDAN. Melalui pengajar yang penuh didikasi dan diurapi Tuhan.
Tuhan memberkati. AMEN.

           

No comments:

Post a Comment

25.1.2020 Mogivas dulu.